Flash Ticker

Sunday 4 November 2012

Pengajaran berdasarkan Model ASSURE

             PENGENALAN
1.1 Teknologi Pengajaran dan Model ASSURE
Mengikut AECT 1994 Teknologi Pengajaran adalah teori dan amalan tentang mereka bentuk, mengguna, mengurus dan menilai proses serta sumber untuk pembelajaran. Teori dan amalan ini akan menjadi asas kepada tindakan yang diambil.
Menurut Abdul Rahim Mohd Saad(1996), peranan Teknologi Pengajaran di kategorikan kepada 3 bidang utama yang  mewakili fungsinya sendiri.
Peringkat pertama adalah mengubah peringkat membuat keputusan. Pada peringkat ini penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan. Peringkat kedua adalah mengubah sistem atau pendekatan pengajaran. Pada tahap ini Teknologi Pengtajaran boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun. Manakala peringkat yang ketiga pula adalah mengubah pengalaman pembelajaran. Pada peringkat ini aplikasi Teknologi Pengajaran secara teratur boleh membantu pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang khusus.
Secara amnya Teknologi Pengajaran berperanan penting dalam menangani sebarang persoalan melalui pembekalan beberapa model pengajaran yang sesuai, teknik-teknik pengajaran yang maju dan perisian yang releven dan pengurusan yang cekap.
Model pembelajaran ASSURE pula telah membahagikan pengajaran kepada 6 pembahagian dalam sesi pengajaran para guru.
Pengagihan pertama ialah analisis pelajar yang menekankan peranan guru mengenalpasti terlebih dahulu ciri-ciri umum para pelajar sebelum memulakan sesuatu sesi pembelajaran.
 
Tahap kedua pula adalah menyatakan objektif. Objektif yang ditentukan hendaklah pada tahap minimum apa yang sepatutnya dipelajari pelajar.
Tahap yang ketiga dalam model ASSURE adalah memilih kaedah, media dan bahan yang bersesuaian dengan pengajaran dan untuk meningkatkan lagi pencapaian objektif yang ingin diperolehi.
Tahap yang kelima pula adalah mendorong penglibatan pelajar sepanjang proses pembelajaran berlangsung. Pada tahap ini keberkesanan guru dan bahan yang digunakan adalah amat diperlukan dalam menarik perhatian pelajar.
Tahap yang keenam pula adalah nilai dan semak. Guru hendaklah membuat penilaian dan penyemakan berkaitan sebarang tugasan, latihan dan seumpamanya yang seharusnya diselesaikan oleh setiap orang pelajar.
Kesimpulannya Teknologi Pengajaran dan Model ASSURE adalah satu kombinasi ilmu teknologi pengajaran dan satu teori pembelajaran yang sangat berkesan dalam sesi pengajaran dalam kelas. Para pendidik yang menggunakan kedua-dua kombinasi ini, adalah tidak mustahil untuk menghasilkan satu sesi pembelajaran yang menarik buat  para pelajar.
2.1      Analyze Learners – Analisis Pelajar
Dalam pengajaran ini, ciri-ciri umum pelajar yang terlibat adalah di kalangan pelajar yang berumur 7 tahun yang berada dalam kelas 1 Cemerlang . Di antara latar  belakang sosio-ekonomi keluarga pelajar ialah nelayan, pekebun, pekerja swasta , dan bekerja di sektor kerajaan. Secara amnya kebanyakan ibu bapa pelajar ini adalah terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Kedudukan sekolah adalah berdekatan dengan kawasan tempat tinggal pelajar. Kebanyakan pelajar tinggal di kawasan persisiran pantai. Hampir kesemua kemudahan asas telah tersedia kecuali kemudahan air paip.
Analisis berdasarkan kompentesi khusus pula didapati para pelajar secara umumnya baru mengenali dunia pembelajaran yang sebenarnya. Lebih kurang 50 peratus daripada bilangan pelajar adalah baru mengenali alam persekolahan. Selebihnya pula pernah memasuki alam pra sekolah dan Kemas. Pengajaran ini terlaksana selepas sahaja sesi orentasi persekolahan bagi pelajar tahun satu. Sesi orentasi ini berjalan selama 2 minggu. Dalam kelas ini para pelajar ditempatkan dalam kelas yang bercampur-campur tahap keupayaan 3M mereka. Ini bermakna ada pelajar yang telah lancar membaca dan ada yang belum.
Analisis berkaitan stail pembelajaran pula , guru mendapati pelajar tahun satu masih lagi perlu dibantu dalam beberapa aspek pembelajaran. Para pelajar dalam kelas sebegini akan menghasilkan komunikasi yang pelbagai. Setiap orang pelajar akan kerap menimbulkan pelbagai persoalan yang berkehendakkan guru menjawab secara serta merta. Segala persoalan yang ditimbulkan oleh guru sudah semestinya akan menerima jawapan yang banyak dari para pelajar.
2.2       State Objectives – Nyatakan Objektif
Dalam pengajaran bagi subjek Bahasa-Melayu ini penghasilan objektif adalah berasaskan 3 objektif utama iaitu Psikomotor, Kognitif  dan Afektif. Objektif Psikomotor yang ingin dicapai  adalah memastikan para pelajar dapat melakukan teknik  menggosok gigi dengan teknik yang betul,cara –cara membersihkan tubuh badan kita dan cara membersihkan bilik darjah serta membersihkan Balai-raya yang terdapat di kampung . Guru akan menunjukkan cara menggosok gigi yang betul, diikuti secara serentak oleh setiap orang pelajar. 
 
Objektif Kognitif pula, para pelajar dapat mengetahui cara membersihkan tubuh badan termasuklah rambut ,kuku,gigi juga kawasan sekolah dengan teknik yang betul dan seterusnya pelajar juga dapat menyebut empat perkataan suku kata yang berkaitan dengan kebersihan gigi seperti gigi, ubat, gosok dan berus.
Manakala objektif yang ketiga adalah dari aspek Afektif yang mana melalui pengajaran dan pembelajaran ini para pelajar dapat Memupuk keyakinan diri, bekerjasama, dan berasa seronok. Kemahiran secara tidak langsung yang dapat diterapkan dalam pembelajaran ini  ialah kemahiran membina perkataan  daripada ‘be + rus’, ‘u + bat’, ‘go + sok’ dan ‘gi + gi’
2.3        Select Instructional Methods,Media and Materials  – Pilih  
             Kaedah, Media dan Bahan
2.3.1     Select Instructional Methods – Pilih Kaedah
Dalam sesi pengajaran ini beberapa kaedah telah guru gunakan bagi memaksimumkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pertama yang digunakan adalah kaedah berbentuk hiburan yang dipersembahkan dalam bentuk nyanyian. Dalam sesi ini para pelajar akan menyanyikan lagu “Bangun Pagi” dengan iringan muzik. Seramai 25 orang pelajar akan menyanyikan lagu ini secara serentak.
Kaedah nyanyian ini adalah amat berkesan pada permulaan pembelajaran iaitu pada langkah set induksi. Dengan menyanyikan lagu para pelajar terlebih dahulu telah disajikan dengan satu sesi awalan yang menyeronokkan sebelum mereka meneruskan sesi pembelajaran yang seterusnya.
Kaedah kedua yang digunakan pula adalah kaedah soal jawab. Kaedah soal jawab ini telah saya gunakan pada awal pengajaran lagi iaitu selepas para pelajar menyanyikan lagu “Bangun Pagi”. Berdasarkan lagu yang telah dinyanyikan guru akan bersoal jawab dengan murid tentang aktiviti yang dilakukan setiap pagi berpandukan lagu “Bangun Pagi” yang telah nyanyikan. Kaedah ini dipilih kerana ia adalah satu kaedah untuk mengetahui sejauhmanakah pengetahuan pelajar tentang topik yang akan mereka pelajari. Dengan soalan yang dikemukakan guru dapat mengetahui secara terus sejauh manakah pengetahuan murid bagi sesuatu topik itu.
2.3.2     Select Instructional Media – Pilih Media
Sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran ini, guru telah menggunakan beberapa media. Penggunaan media ini jelas digunakan pada sesi set induksi, Langkah 1, Langkah 3, Langkah 5(Penilaian) dan pada sesi Penutup.Pada sesi penutup guru telah menggunakan media radio,carta lagu dan cd lagu. Kedua-dua media ini telah disediakan lebih awal dan telah dipastikan dalam keadaan baik sebelum digunakan.
Para pelajar akan menyanyikan lagu “Bangun Pagi” ini seiring dengan cd lagu yang dimainkan. Para pelajar akan dipandukan untuk menyanyi lagu ini dengan melihat carta lagu yang dilekatkan di hadapan kelas. Guru juga turut menyanyi bersama-sama pelajar untuk membantu beberapa orang pelajar yang tidak lancar membaca. Ketiga-tiga media yang digunakan ini adalah untuk melancarkan kaedah pengajaran berbentuk hiburan.
Dengan  meletakkan media berbentuk hiburan pada awal pengajaran, para pelajar akan berasa seronok untuk mengikuti sesi pembelajaran yang seterusnya. Pengetahuan sedia ada pelajar mula dicungkil pada awal sesi pembelajaran dengan meransang penglibatan mereka melalui media radio, cd dan carta lagu yang saya sediakan.
Penggunaan media kedua yang saya gunakan dapat dilihat pada langkah pertama iaitu penggunaan media seperti model gigi, keratan rentas gigi, berus gigi dan ubat gigi. Beberapa hari sebelum sesi pengajaran ini guru terlebih dahulu telah mengingatkan para pelajar untuk sama-sama membawa berus gigi dan ubat gigi dengan tujuan untuk memastikan sesi pengajaran berjalan dengan lancar.
Dua model utama guru iaitu model gigi dan keratan rentas gigi  ini saya perolehi dari Bilik  Sains sekolah. Manakala berus gigi dan ubat gigi, potong kuku, syampo, sabun mandi, pula guru sediakan sendiri dengan membawanya dari rumah. Kesemua model ini akan saya letakkan di atas meja setiap stesen yang bertujuan untuk diperhati dan diteliti oleh setiap orang pelajar dalam kumpulan masing-masing. Dengan cara ini para pelajar dapat merasai sendiri keadaan sebenar item yang ingin dipelajari.
Pengalaman belajar dengan objek atau benda maujud seperti ini akan meningkatkan lagi keupayaan pelajar untuk mengingati isi utama pembelajaran. Penggunaan media berbentuk model seperti model gigi dan model keratan rentas gigi  ini secara tidak langsung menarik minat pelajar untuk terus belajar. Media berbentuk model seperti ini akan membawa para pelajar untuk lebih mengenali lagi rupa sebenar gigi mereka yang sememangnya sukar untuk dilihat pada situasi sebenar.
2.3.3     Select Instructional Materials  – Pilih  Bahan
Penggunaan  bahan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa-Melayu saya ini memberikan beberapa kekuatan berdasarkan analisis pelajar yang telah dilaksanakan. Dengan situasi sosioekonomi pelajar yang berada di kawasan pedalaman tidak  keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa tahap penjagaan kebersihan diri  kebanyakan pelajar adalah kurang. Kesesuaian bahan seperti model gigi,dan model-model  lain yang saya gunakan ini adalah sangat bersesuaian dalam memberi kesedaran pada diri pelajar tentang kebersihan tubuh badan lebih-lebih lagi gigi.
dengan lebih baik lagi.Penggunaan bahan dalam memulakan sesi pembelajaran yang berbentuk hiburan.
Penggunaan bahan kad abjad yang disusun sehingga terbentuk perkataan pula secara langsung dapat menguatkan lagi tahap pemahaman pelajar dalam mengingati apa yang mereka pelajari. Berdasarkan bahan hiburan, pelajar juga turut di pandu bersama untuk lebih memahami apa yang di pelajari dengan menggunakan kad-kad abjad yang memerlukan pelajar menggunakan kemahiran dan pengetahuan sebenarnya dalam memahami apa yang ingin mereka pelajari. Penggunaan kad abjad ini secara langsung menguji tahap pembelajaran pelajar untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Objektif pembelajaran juga dengan mudah dicapai apabila guru menggunakan bahan yang selalu pelajar gunakan setiap hari untuk digunakan dalam pengajaran. Penggunaan bahan seperti ubat gigi dan berus gigi sabun, syampo pemotong kuku oleh pelajar sendiri, membuatkan pelajar sedar betapa pentingnya bahan-bahan tersebut untuk menjaga kebersihan tubuh anggota badan mereka.
2.4     Utilize Media and Materials  – Gunakan Media dan Bahan
Penggunaan kaedah, media dan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran hendaklah  saling  berkaitan dan berterusan bagi memastikan perjalanan dan pencapaian objektif terlaksana dengan jayanya. Dalam pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan ini, kaedah pertama yang guru gunakan adalah kaedah berbentuk hiburan. Para pelajar akan menyanyikan lagu “Bangun Pagi”. Media dan bahan yang saya gunakan pada langkah set induksi ini ialah penggunaan radio dan cakera padat yang mengandungi lagu tersebut dan carta lagu untuk memastikan pelajar turut sama menyanyi.
Dalam memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang baik dan berkesan beberapa aspek dititiberatkan sebelum dan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula guru terlebih dahulu memastikan kesemua media dan bahan telah disediakan lebih awal dan setiap media yang ingin digunakan tidak bermasalah semasa ia mula digunakan. Media dan bahan seperti  model keratan rentas gigi akan guru sediakan lebih awal dengan membuat pnjaman di bilik sains yang terdapat di sekolah.Kesemua media dan bahan ini terlebih dahulu disediakan dalam kelas tersebut dahulu sebelum bermulanya kelas pengajaran dan pembelajaran.
 Semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung, suasana pembelajaran hendaklah diambil berat dari permulaan set induksi lagi. Pada permulaan pengajaran ini saya akan memastikan suasana dimulakan dengan  keseronokan menyanyi bersama-sama dengan para pelajar. Suasana yang gembira dengan santapan hiburan akan menarik minat pelajar untuk meneruskan pembelajaran pada hari tersebut.
Pada langkah kedua guru membawa para pelajar kedalam satu suasana berbentuk pameran, yang mana media dan bahan yang saya gunakan adalah model gigi, keratin rentas gigi, berus gigi dan ubat gigi dan alat kebersihan yang lain. Dalam kumpulan para pelajar akan bergilir-gilir bergerak dari satu stesen ke stesen yang lain untuk membuat pemerhatian terhadap keempat-empat model yang disediakan. Dengan mengadakan ruang pameran sebegini, walaupun nampak kecil tetapi secara tidak langsung telah membuka satu suasana mini pameran yang meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. 
 
Suasana pembelajaran yang seterusnya guru mula ubahkan sedikit ke tahap yang agak ilmiah yang mana pada langkah ke tiga  guru menyediakan media dan bahan berbentuk kad abjad a-z . Guru akan menyebut beberapa perkataan seperti tolong sapu sampah, tolong cabut rumput, tolong cat dinding. Dalam kumpulan pelajar akan membentuk  kad perkataan bagi menghasilkan frasa tersebut. Penggunaan media dan bahan sebegini akan melahirkan satu suasana bersaing yang sangat menyeronokkan dikalangan pelajar.
2.5     Require Learner Participation  – Dorongan Penglibatan Pelajar
Bagi memastikan proses pembelajaran berlaku dengan baik, para pelajar akan guru libatkan dalam aktiviti pembelajaran seperti menyanyi,memberi pendapat dan menjawab soalan yang dikemukakan. Pembelajaran yang aktif dapat guru kenalpasti pada langkah ketiga . Pada langkah yang ketiga ini masa yang saya peruntukkan ialah sebanyak 8 minit sahaja. Masa 8 minit ini bersesuaian dengan aktivitinya yang tidak terlalu banyak. Pada langkah ketiga ini guru menggunakan kaedah penyelasaian masalah.
Kaedah ini berkehendakkan kumpulan pelajar menyambungkan beberapa kad abjad sehingga membentuk perkataan. Para pelajar akan menyusun kad abjad berkenaan berdasarkan perkataan yang disebut oleh guru. Empat perkataan tersebut ialah gigi, ubat, gosok dan berus. Rasional memilih kaedah penyelesaian masalah ini adalah kerana ia mudah bagi para pelajari ikuti. Selain itu kaedah ini juga telah guru permudahkan lagi, yang mana pelajar hanya perlu menyambung kad abjad menjadi satu perkataan berdasarkan perkataan yang saya sebutkan satu persatu.
                 Evaluate and Revise – Nilai dan Semak
                2.6.1   Evaluate Learning –Pembelajaran Murid
Cara penilaian yang guru jalankan bagi mengenalpasti sejauhmanakah keberkesanan pengajaran guru terhadap para pelajar adalah melalui tiga penilaian iaitu penilaian sebelum, semasa dan selepas pengajaran. Sebelum pembelajaran dimulakan guru telah mula melaksanakan penilaian secara umum sahaja iaitu melalui set induksi yang saya jalankan pada awal pembelajaran. Selepas sahaja aktiviti nyanyian lagu “Bangun Pagi” guru telah mengemukakan penilaian pertama saya melalui teknik penyoalan secara lisan.
Berdasarkan lagu yang telah dinyanyikan saya bersoal jawab dengan murid tentang aktiviti yang mereka lakukan setiap pagi. Dengan mengemukakan penilaian awal dengan penyoalan  secara langsung diawal pengajaran lagi guru sudah  dapat  mengetahui  sejauhmanakah tahap pengetahuan pelajar berkaitan kebersihan gigi.
Penilaian kedua pula ialah penilaian semasa pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Penilaian kedua ini jelas kelihatan pada langkah ketiga. Pada langkah kelima guru menilai pelajar berdasarkan kumpulan mereka masing-masing. Selain menjimatkan masa penilaian, kerjasama pelajar juga boleh diperhatikan pada langkah ini. Kerjasama dalam kumpulan akan memastikan pelajar dalam kumpulan akan sentiasa bantu membantu untuk mencari atau mencantum kad perkataan menjadi satu frasa  yang disebutkan oleh guru. Pada langkah kelima ini juga guru dapat menilai lebih lanjut tentang sejauh manakah pelajar memahami topik atau apa yang mereka telah pelajari pada langkah satu dan langkah dua. 
 
Penilaian ketiga adalah setelah pengajaran dan pembelajaran berada pada akhir sesi. Pada akhir sesi ini guru telah membuat penilaian  berbentuk memadankan suku kata berkaitan dengan kebersihan  gigi.Guru juga telah menyediakan bentuk soalan yang menggunakan ICT iaitu murid menjawab menggunakan komputer. Para pelajar akan dibekalkan dengan lembaran kerja, yang disediakan khas untuk menguji pengetahuan mereka berkaitan pembelajaran yang
mereka telah lakukan. Sesi ini dijalankan pada langkah penilaian iaitu pada langkah kelima. Pada sesi penilaian akhir ini pelajar hanya perlu memadankan 8 suku kata bagi membentuk 4 perkataan asas iaitu gosok, gigi, ubat dan berus. Namun begitu satu penilaian akhir akan guru  adakan pada waktu lain bagi menguji sejauhmankah para pelajar menguasai topik berkenaan. Masa yang guru berikan pada waktu ini adalah selama 30 minit dan saya menjadikannya sebagai satu ujian sumatif.
Penilaian sumatif guru adalah berbentuk memadankan perkataan dengan  gambar rajah yang diberi. Murid juga dinilai berdasarkan penulisan .Pada penilaian ini pelajar hanya menulis perkataan yang disebut oleh guru dan membaca semula perkataan tersebut.Ini bertujuan menguji sama ada murid boleh mengeja perkataan dengn betul atau tidak.
2.6.2     Teacher’s Plan -  Rancangan pengajaran guru
Selesai saja guru menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran beberapa penilaian dan penyemakan semula telah dilaksanakan bagi mengesan sejauhmanakah pengajaran mencapai objektifnya. Aspek pertama penilaian guru adalah melalui persembahan. Pada aspek ini guru akan meneliti semula sejauhmanakah persembahan pengajaran yang dilakukan dapat tercapai. Persembahan yang baik adalah persembahan yang dapat menarik minat pelajar untuk turut serta dalam sesuatu aktiviti pengajaran. 
Penilaian kaedah pula akan guru lakukan dengan mengesan sejauhmanakah  kaedah yang digunakan seperti kaedah penyoalan, latih tubi dan kaedah pemerhatian yang terdapat dalam pengajaran guru dapat memberikan para pelajar tentang apa yang ingin mereka pelajari. Kaedah pemerhatian yang terdapat pada langkah dua dapat memastikan para pelajar dapat melihat dan menilai dengan jelas, model yang dipersembahkan kepada mereka.
Penilaian media pula ialah sejaumanakah media yang digunakan itu mudah diterima dan penggunaannya sebagai member kefahaman kepada para pelajar semaksimum yang boleh. Guru harus menilai adakah media yang digunakan seperti penggunaan radio, cakera padat dan carta lagu mampu membawa bersama para pelajar menyanyikan lagu “Bangun Pagi” dengan lebih seronok dan menggembirakan pelajar.
Bagi menilai bahan pula, aspek penting yang seharusnya di utamakan ialah bahan yang digunakan itu bersesuaian dan mudah diguna pakai oleh pelajar. Contoh bahan yang digunakan ialah lembaran kerja. Guru hendaklah memastikan isi kandungan lembaran kerja adalah tidak terlalu susah untuk diselesaikan atau dibuat oleh pelajar.
Isi kandungan atau soalan yang digunakan itu hendaklah tidak terlalu susah dan telah dipelajari oleh setiap orang pelajar. Bagi menilai tahap penglibatan pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang saya jalankan beberapa perkara hendaklah dilakukan. Di antaranya ialah ketika melakukan aktiviti demonstrasi menggosok gigi, para pelajar terlebih dahulu, guru akan pastikan mereka memiliki berus gigi dan ubat gigi masing-masing. 
 
Dalam aktiviti pameran pula para pelajar telah guru bahagikan kepada beberapa kumpulan. Bagi memastikan penglibatan semua pelajar, guru akan membahagikan setiap kumpulan itu dalam kumpulan yang bercampur-campur. Setiap kumpulan itu hendaklah meliputi pelajar yang cerdas, sederhana dan lemah. Ini membolehkan setiap kumpulan itu dapat menonjolkan kebolehan masing-masing dengan adil.
Satu penilaian yang telah disediakan yang membolehkan guru mengukur pencapaian dalam pengajaran ialah dengan satu penilaian yang mengandugi 5 soalan. Soalan pertama guru ialah adakah media yang digunakan itu berkesan dalam menarik perhatian para pelajar untuk turut sama dalam sesi pembelajaran. Soalan kedua pula ialah adakah media yang digunakan itu dapat membantu pelajar mencapai objektif. Seterusnya soalan ketiga ialah adakah pelajar dapat melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam semua aktiviti pembelajaran. Soalan keempat ialah adakah setiap media yang digunakan itu dapat meransang naluri ingin tahu pelajar untuk topik yang ingin guru sampaikan. Manakala soalan kelima ialah  adakah media yang yang gunakan itu sangat kreatif dan berkaitan dengan isu yang menarik minat pelajar.
 
3.0     KESIMPULAN
Teknologi Pengajaran yang merangkumi teori dan amalan berkaitan mereka bentuk, mengguna, mengurus dan menilai proses serta sumber untuk pembelajaran adalah sesuatu yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran masa kini. Dengan kemajuan dalam pembangunan dan dunia teknologi, teori serta amalan teknologi pengajaran turut sama berubah.
Atas faktor-faktor perubahan yang sedemikian para pendidik perlulah lebih berdaya saing dan sentiasa bersedia dengan ilmu dalam bidang yang dikhususkan. Di samping itu para pendidik juga perlu bersedia dengan ilmu-ilmu serta pengalaman yang lain bagi melahirkan seorang pendidik yang serba boleh.
Dengan Teknologi Pengajaran yang berperanan penting dalam menangani sebarang persoalan melalui pembekalan beberapa model pengajaran yang sesuai, teknik-teknik pengajaran yang maju dan perisian yang releven dan pengurusan yang cekap para pendidik akan lebih bersedia dengan profesion keguruan masing-masing.
Berbantukan Model pembelajaran ASSURE sesi dan kandungan  pengajaran pendidik akan lebih baik, menarik dan lebih terancang lagi. Model ASSURE ini sudah pasti akan lebih membantu para pendidik dalam merncang proses pembelajaran sama ada sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran itu.
Kesimpulannya Teknologi Pengajaran dan Model ASSURE adalah satu kombinasi ilmu teknologi pengajaran dan satu teori pembelajaran yang sangat berkesan dalam sesi pengajaran dalam kelas. Para pendidik yang menggunakan kedua-dua kombinasi ini adalah tidak mustahil untuk menghasilkan satu sesi pembelajaran yang menarik pada para pelajar.

No comments:

Post a Comment